Bagaimana Untuk Berhenti Memberi Alasan Bagi Memulakan Langkah Untuk Travel? (Atau apa sahaja dalam kehidupan)

EBQR0635 (1)
Saya tidak pernah sangka yang saya akan sampai ke Iceland. Jauh terfikir saya akan mampu sampai ke sini. Tetapi, inilah antara destinasi impian dan saya cari cara untuk sampai ke sini.

Masih ingat lagi azam tahun baru anda? Cuba list balik azam anda. Nak kurus? Nak membaca lebih banyak buku yang bermanfaat? Nak simpan lagi banyak duit? Ada tak, di antara azam anda telah anda capai?

Tetapi, tanpa perlu menjadi ahli nujum, saya tahu; kebarangkalian besar ramai di antara anda belum mencapai azam tahun baru anda. Kan? (tersenyum sendiri ke tu?)

Masa akan berlalu, dan semangat serta keterujaan anda akan semakin pudar. Sudah pasti anda dah susunkan alasan-alasan kenapa azam anda tersebut tidak lagi dicapai atau diteruskan.

“Takde masa nak pergi gym.”

“Sibuk sangat, takde masa nak membaca.”

“Harga barang sekarang mahal sangat. Mana mampu nak simpan duit.”

Tidak bertindak adalah tindakan yang paling senang. Tidak berbuat apa-apa memerlukan kerja yang lebih sedikit dari melakukan sesuatu. Bila kita mula merasa bersalah, maka kita mula mencipta alasan untuk untuk justify kelemahan kita tersebut.

Tiada siapa mahu berkata pada diri sendiri dan mengatakan dirinya gagal. So, kita cipta ‘mitos’ supaya kita tidak rasa bersalah kerana tidak mencapai expectation diri kita sendiri. To make us feel better and not like a disappointment.

Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya boleh travel. Dan mereka ini jugalah sering memberi alasan kepada saya:

“Aku takde duit.”

“Aku takde duit yang cukup untuk menyimpan.”

“Gaji aku kecik je. Mana mampu.”

“Tiket flight tu mahal ok.”

“Matawang Malaysia ni kecik sangat berbanding dengan matawang negara luar.”

“Ala, takde sesiapa nak teman aku travel.

Biasa tak dengar alasan ini? Saya tidak mengatakan alasan ini hanyalah alasan dan tidak munasabah. ada di antaranya memang munasabah. Kita semua ada cabaran untuk berjaya. Setiap di antara kita ada masalah dan cabaran hidup masing-masing. Tidak semua orang memang betul-betul akan mampu untuk travel.

Tengok balik perjalanan hidup kita.

Kenapa mahu membiarkan kekangan tersebut menentukan hidup kita? Kenapa tidak kita jadi hero kepada diri kita sendiri dan mengalahkan kekangan tersebut? Bagaimana kalau sebenarnya nanti anda akan menjadi pengembara yang memiliki pengembaraan yang sangat awesome?

Sudah tiba masanya untuk kata pada diri sendiri, : “Ya, mengembara itu memang mahal. Tapi kalau semua orang yang aku tengok dekat sosial media tu boleh buat, maknanya, tidaklah sesusah manapun. Aku mungkin boleh tengok dulu. Google untuk dapatkan maklumat”.

Tak semua perkara kita tahu. Normal.

Ya, mungkin, ada kebarangkalian cara lain untuk membolehkan anda travel. Permulaannya mungkin tidak sama seperti orang lain. Dan sebenarnya, ada hasutan-hasutan jahat yang menyebabkan anda tidak berani mencuba!

So, sekarang kita ‘terbalikkan keadaan’.

“Aku takde duit……….Maka aku kena dapatkan duit.”

“Aku takde duit yang cukup untuk menyimpan…….. Maka aku kena ada plan untuk menyimpan yang sesuai dengan aku.”

“Gaji aku kecik je. Mana mampu…………. Maka aku kena cari duit lebih. Berniaga ke, jadi pemandu Grab pun boleh.”

“Tiket flight tu mahal ok……… Tapi aku boleh pergi ke tempat yang murah-murah dulu. Pakai bas pun apa salahnya. Naik flight yang murah-murah, aku boleh kumpul points dan redeem tiket yang lebih murah!”

“Matawang Malaysia ni kecik sangat berbanding dengan matawang negara luar………. Tapi ada je negera yang matawangnya lebih rendah dari Malaysia. Aku boleh ke negara tersebut. Pengalaman tu lagi penting!”

“Ala, takde sesiapa nak teman aku travel……… Takpe, aku boleh join tour yang murah-murah ala-ala bajet travel dan backpacker atau lebih senang, aku travel je sorang-sorang.”

Ya, memang travel tu memerlukan duit dan ianya memang mahal bagi sesetengah orang. Ya, tidak semua orang mampu.

Tapi dengan mindset yang negatif, kita tidak akan mengubah apa-apa. Tidak akan bergerak ke mana-mana malah kita mungkin akan berundur ke belakang. Berharap pada sesuatu tanpa tindakan tidak akan memberi kita apa yang kita harapkan.

Bertindak!

Ramai je manusia yang sudah travel mengelilingi dunia sekarang ni dulu juga mempunyai masalah dan kekangan yang hampir sama dengan orang lain. Yang membezakan mereka adalah mereka BERTINDAK untuk tidak terikat dengan kekangan tersebut.

Ramai di antara mereka menemui cara dan jalan untuk travel. Maknanya, tidak mustahil untuk anda travel melihat dunia. Kenapa tidak anda?

Mulakan langkah anda. Buat research. Research dan research! Malas tidak membawa sebarang kebahagiaan. Mulakan langkah pertama!

Jangan biarkan alasan anda mengalahkan anda. Jangan biarkan kekangan anda menang melawan impian anda.

Mula merancang.

Dan bila anda telah sampai ke destinasi idaman anda, kirimkan saya postcard!

Advertisements