Tips Bagaimana Nak Simpan Duit Untuk Travel / Melancong / Mengembara Kalau Awak Bukan Orang Kaya

Mahu mengembara melihat dunia? Ambik gambar yang cantik – cantik? Mengembara atau selalu dikaitkan dengan melancong untuk melihat dunia bukan hanya untuk orang kaya dan berduit sahaja. Anda pun boleh! Walaupun tidak perlu untuk menjadi orang kaya, tetapi anda perlu lebih kreatif untuk simpan duit dan travel. Ini adalah antara cara-cara yang saya, teman-teman serta kenalan saya lakukan.

Ada mitos yang membayangi rakyat Malaysia bahawa melancong ini hanya untuk orang kaya atau berduit. Apatah lagi melancong ke luar negara. Samada mereka ini datangnya dari keluarga yang kaya, bergaji besar, atau bertuah kerana memenangi pakej perlancongan, menang loteri dan sebagainya. Betul ke? Hmmmm..

Orang biasa atau rakyat marhaen tidak mampu untuk mengembara. Terlalu mahal dan mewah untuk kita……

Well, mitos. Jangan dibayangi dengan mitos ini. Jangan risau. Saya faham keadaan anda yang sama seperti saya. Dulu saya juga mempunyai pemikiran yang sama (ye la, sebab parents kita dulu zaman 60 an, 70 an dan 80 an, pergi ke daerah sebelah pun dah kira jauh. Apatah lagi ke negeri lain, dan apatah lagi keluar negara. Sebagai rakyat Malaysia yang tahun penghujung 90 an baru nak berkenalan dengan komputer dan internet, dulu saya juga beranggapan melancong tu untuk orang kaya sahaja dan mereka yang mempunyai keistimewaan. Masa tu, sebut je melancong, teringat orang pakai winter coat dan salji (siapa sama seperti saya?).

Sejak mengembara sendiri ketika waktu belajar (15 tahun yang lalu), segalanya berubah. Di sini saya mahu nyatakan bahawa mengembara melihat dunia ini tidak mustahil untuk orang seperti kita. Senyum.

Bagaimana Mahu Menyimpan Duit Untuk Travel/Melancong

Saya dulu pun blur cara nak simpan duit dan berbelanja. Malah terkadang tak cukup duit untuk perbelanjaan. Tapi dari situ saya belajar. Sebagai student saya tak guna pun duit PTPTN (saya ada pinjaman PTPTN je sebagai pembiayaan belajar selain ada bantuan sedikit dari parents sebab saya cuma dapat pinjaman separuh). Saya mengembara di dalam Malaysia terlebih dahulu dan pernah ke China waktu itu.

Tetapi kemuncak saya mengembara adalah ketika saya sudah bekerja kerana di sini baru saya betul-betul berbelanja serta menyimpan duit dengan cara yang betul.

Ye la, time belajar tungang-langgang jugaklah time tu nak berbelanja dan menyimpan duit.

Okay, ini formula saya dan pengalaman kenalan saya yang boleh membantu anda menabung untuk memulakan trip yang pertama atau trip anda yang seterusnya.

1: Bertanggungjawab dengan Kewangan Sendiri

Bukan saya nak judge cara anda menguruskan kewangan anda. Segalanya bermula di sini. Terpaksa diakui bahawa ini yang paling mempengaruhi status kewangan dan keupayaan kita berbelanja. Pernah ke zaman sekolah dahulu kita diajar dengan mendalam bagaimana hendak merancang kewangan? Kebanyakkan antara kita, mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang kurang tentang perkara ini.

Pengurusan kewangan adalah kemahiran yang perlu dibelajar. Tetapi tidak ramai di antara kita yang mahir asas mengurus duit sehinggalah kita dewasa. Sebenarnya, pengalaman yang sama itu boleh digunakan untuk travel. Konsepnya sama sahaja. Contoh asas yang saya amalkan adalah (ini contoh sebahagian sahaja):

  1. Simpan dahulu baru belanja. Apa sahaja pendapatan seperti gaji, bonus, bisnes sampingan, pulangan cukai dan sebagainya, saya akan asingkan untuk simpanan terlebih dahulu. Minimum 20% – 30% dari hasil pendapatan. 10% – 20 % daripadanya pula saya simpan untuk travel. Ini tidak termasuk kiraan simpanan EPF. Ini adalah cash yang saya asingkan. Selebihnya barulah saya belanja untuk sara hidup. Sekiranya tiada keperluan untuk digunakan, saya akan simpan 100%.  Kadang – kadang saya akan buat kerja lebih  atau bisnes sampingan khas untuk travel sahaja. Kalau simpanan berlebih, boleh masukkan ke dalam simpanan kecemasan.
  2. Belanja bila perlu sahaja. Ini sangat penting. Sebelum membeli, tanya balik pada diri sendiri “Aku perlu tak barang ni? Aku dah ada tak barang ni? Kalau aku dah ada barang ni, membazir tak kalau aku beli? Aku akan betul-betul guna tak untuk tempoh yang panjang? Boleh tak aku survive dan teruskan urusan harian tanpa barang ni?” Guys, kebanyakkan barang yang kita beli sebenarnya adalah kehendak bukan keperluan. Kena strict dengan diri kita sendiri. Kalau bukan diri kita sendiri, siapa lagi?
  3. Berbelanja bukan mengikut kemampuan, tetapi di bawah kemampuan. Ini sering diajar oleh pakar pengurusan kewangan. Saya selalu cuba untuk mengikut jejak langkah ini dan kadangkala tewas (oh, tidaklah selalu). Sekiranya kita mampu membeli kereta berhara RM80,000, kita beli kereta berharga RM40,000. Sekiranya mampu membeli jam tangan berharga RM700, maka belilah jam tangan berharga RM100-RM200. Semakin besar periuk, semakin besarlah kerak nasinya sepatutnya hanyalah mitos semata. Maka, dengan cara ini kita akan memiliki lebih wang untuk disimpan.
  4. Sedekah. Jangan kedekut untuk sedekah. Sedekah note duit yang mempunyai nilai paling tinggi yang kita ada. Kalau masa tu ada note RM100, sedekah. Bukan cari duit kecik RM1 sebagai sedekah. Kalau anda kedekut nak share rezeki anda, kenapa anda rasa Allah kena bagi anda lebih? Kalau anda bagi seorang budak-budak sejumlah gula-gula, dan dia share dengan kawan-kawan dia, dan hanya ambik satu je gula-gula, anda rasa anda akan bagi lagi tak gula-gula kat dia? Kalau dia tak nak bagi kat kawan-kawan dia, simpan untuk diri sendiri sahaja, anda akan tambah tak gula-gula untuk dia? Simple. Sedekah tanpa rasa berat hati dan yakin rezeki itu dari Allah, hanya akan menambahkan rezeki anda.

Anda sebenarnya akan memberi komitmen jangka panjang yang sebenarnya susah untuk kita istiqomah atau tetap dalam amalan kita. Seperti yang saya katakan tadi, kena strict dengan diri kita sendiri. Kalau bukan diri kita sendiri, siapa lagi? Ianya memang sukar, memerlukan metaliti yang kuat dan pengorbanan yang tinggi. Oleh kerana itu tidak ramai yang berjaya. Mindset yang betul adalah segalanya!

Sekuat mana keinginan anda mahu melancong, mengembara melihat dunia? Tiada siapa yang akan lakukannya untuk anda serta menjadikannya suatu kenyataan. Ianya tanggungjawab anda sendiri sepenuhnya!

Ianya sebenarnya tidaklah sesukar mana jika memiliki mindset yang betul, tetapi expect ianya tidak akan terlalu mudah. Jika anda mampu membeli gadget dan handphone dengan harga ribuan ringgit, anda sebenarnya mampu untuk travel.

2. Jejak perbelanjaan anda

Wang itu sendiri tidaklah memeningkan kepala. Yang memeningkan kepala adalah pengurusan kewangan itu yang tidak efektif. Adakah anda berbelanja sahaja mengikut kehendak. Sehingga takut nak check balance duit dekat bank? Keadaan ini sebenarnya yang buat kita pening kepala.

Jalan penyelesaiannya mudah sahaja.

Ambil sedikit masa lapang dan semak semua account anda untuk mengetahui keadaan sebenar kewangan anda. Simpanan, keluar masuk duit anda itu dari mana dan ke mana.

Menjejaki perbelanjaan ini sangat penting untuk kita mengetahui perbelanjaan mana yang perlu dikurangkan atau malah terus disekat.

Ya, mungkin ramai di antara anda sering mendengar tentang perkara ini, tetapi adakah anda memang sering melakukannya? Perkara ini sangat penting untuk mengetahui apa dan berapa perbelanjaan anda setiap bulan dan berapa pula perbelanjaan anda ke atas barang yang tidak diperlukan. Jangan terkejut dengan result anda nanti jika dipenuhi dengan sesuatu yang hakikatnya tidak perlu dibelanjakan.

CATAT. Catat KESEMUA perbelanjaan anda. Berapa banyak yang anda belanjakan untuk makanan dalam tempoh seminggu? Barangan dapur, makan di luar, hiburan wayang, dates, tiket perlawanan bola sepak, buku sebagainya.

Itu tak termasuk lagi rokok yang anda bakar setiap hari.

Bagaimana pula dengan bills anda? Insurance, sewa, gym fees, parking, PTPTN, credit cards interest, shopping, online games, spotify, internet data dan sebagainya.

Anda mungkin akan terkejut dengan perbelanjaan anda. Apatah lagi ke atas perkara tidak perlu. Perkara-perkara kecil yang tidak penting kita belanjakan, bila ditambahkan semua perbelanjaan yang tidak perlu, jumlahnya sangat besar. Sebenarnya jumlah wang ini boleh disimpan di dalam tabung travel anda.

Anda perlu tahu di mana kewangan anda berada dan perlu tahu apa yang perlu dilakukan. Perkara memang sedikit mengambil masa tetapi cuba sedaya baik supaya ianya menjadi sebahagian dari habit kehidupan kita.

3. Bajet mengikut kemampuan.

Dalam kes ini, ada 2 jenis bajet yang anda perlukan. Pertama, bajet untuk trip anda. Dan keduanya adalah bajet untuk kehidupan anda.

Pertama, anda kena buat research untuk mengetahui berapa kos trip anda. Kalau anda membuat kajian yang betul, anda boleh buat bajet travel serendah atau di bawah RM100 sahaja sehari.

Jumlah perbelanjaan adalah sangat bergantung dengan destinasi yang hendak dituju dan sejauh mana anda sanggup berjimat cermat di sepanjang perjalanan anda. Tetapi secara kasarnya, untuk perjalanan di sekitar South East Asia untuk tempoh 3 – 7 hari, saya selalu bajet perbelanjaan keseluruhan di bawah RM1,000. Maknanya, kalau hendak pergi sebulan, kena ada dalam account sekurangnya RM4,000 (jumlah keseluruhan mungkin lebih rendah dari ini). Ini adalah mengikut cara dan kesanggupan saya berjimat cermat.

Jika anda membuat research tentang penginapan dan harga tiket perjalanan, anda boleh control jumlah perbelanjaan perjalanan anda serendah mungkin. Dua perkara ini merupakan kos paling besar untuk perjalanan asas anda. Ingat, kos shopping itu tidak sama dengan kos asas kerana ianya sangat subjektif.

Bajet perlu dikira mengikut masa. Jika sekarang adalah bulan Januari dan trip anda nanti adalah di bulan September, untuk mencapai target RM1,000 (biar lebih sedikit, jangan cukup makan), anda perlu menyimpan sekurang RM125 sebulan. Perancangan awal sangat membantu anda dalam menyimpan duit.

Bajet yang efektif ini sebenarnya bukanlah perkara yang perlu dirisaukan. Tetapi ianya adalah sebaliknya. Jika anda mampu kawal duit dan kewangan anda, anda akan lebih berkeyakinan untuk mencapai matlamat anda dan malah akan lebih bersemangat untuk mencapainya.

4. Kurangkan perbelajaan yang tidak perlu.

Ambil sehelai kertas dan lukiskan garis vertical ditengahnya. Tulis di sebelah atas kiri kertas “Keperluan” dan disebelah yang satu lagi “Kehendak”.

Sekarang, tulis segala perbelanjaan anda termasuk kos di salah satu bahagian ini. Cuba sehabis baik untuk betul-betul telus dan jujur ketika mengasingkan perbelanjaan ini. Guna persoalan di tips nombor 1 di atas.

Lihat balik senarai tersebut. Berapa banyak di dalam senarai anda adalah sebenarnya barang yang anda benar-benar perlu? Mampukah anda menjalani perjalanan hidup anda tanpa berbelanja ke atas perkara tesebut?

Sesudah itu, jumlahkan kesemua kos untuk “Kehendak”. Seperti yang saya nyatakan di atas, inilah jumlah yang anda segera boleh kurangkan dan disalurkan ke simpanan anda. Banyak bukan?

Kalau mampu, cuba sedaya mungkin untuk terus tidak berbelanja ke atas perkara yang kita tidak perlu.

5. Buat kerja separuh masa, dropship atau bisnes sampingan 

Jana lebih banyak duit anda. Saya pernah travel tanpa menggunakan duit simpanan saya. Bukan sekali, tetapi berkali – kali. Saya buat bisnes sampingan dan hasil dari bisnes tersebut selain untuk simpanan, saya gunakan untuk travel. Lebih seronok travel dengan menggunakan punca rezeki yang lain kerana kita dapat merasa kepuasan setelah kepayahan.

Seperti yang dinyatakan di atas, ianya sangat bergantung kepada diri anda sendiri. Sejauh mana keinginan anda untuk travel. Disiplin diri untuk mencapai matlamat itu sangat penting. Percayalah, sekali anda sudah memulakan journey anda sebagai seorang traveller, pasti anda akan ketagihan dan mahu lagi. Dan ini pasti akan membangkitkan lagi semangat anda untuk berusaha lagi lebih bagi mencapai matlamat seterusnya. Kena ada matlamat, baru mudah kita untuk bergerak maju kehadapan.

Maka, mulakan dari sekarang. Jangan ditangguh. Ya, SEKARANG!

Pesanan terakhir

Sekiranya anda sudah memulakan perjalanan anda nanti, sentiasa ingat perkara ini, perkara jarang berlaku mengikut perancangan kita. Keupayaan anda untuk lebih fleksibel kepada perubahan saat akhir dan perkara yang tidak disangka adalah sangat kemahiran yang sangat penting sebagai seorang pengembara dan hidup.

Jangkakan kejutan dan penambahbaikkan di sepanjang perjalanan anda. Kehidupan memang sebegitu bukan?

Perkara ni tak perlu dirisaukan sangat. Anda telah komited untuk melakukannya. Anda pasti akan menjumpai jalan dan cara untuk mencapainya. Niat dan semangat kena ada. Perancangan anda itu perlu tetapi apa yang lebih penting adalah destinasi yang hendak dituju.

Best of luck and I hope to see you out there!

Advertisements